KISAH THUWAIBAH DAN HALIMAH IBU SUSUAN NABI MUHAMMAD S.A.W.
Kini mereka menunggu pula ibu susuan yang datang dari kawasan pergunungan untuk menyusui Muhammad s.a.w.. Bangsa Arab berpendapat bahawa udara kota Makkah tidak menyihatkan bagi bayi dan sudah menjadi adat wanita-wanita Arab untuk memberikan bayi-bayi mereka kepada ibu-ibu susuan yang tinggal di kawasan perkampungan yang mempunyai udara yang segar.
Beberapa suku yang tinggal di kawasan gurun terkenal sebagai ibu susuan, di antaranya ialah Bani Sa’ad. Sementara menunggu kedatangan mereka, Aminah memberikan bayinya kepada Thuwaibah, seorang hamba Abu Jahal, kerabat Muhammad s.a.w. untuk menyusukannya.
Thuwaibah hanya dapat menyusukan Muhammad s.a.w. selama beberapa hari. Apabila dewasa Nabi Muhammad s.a.w. sangat baik terhadapnya sepanjang hidupnya, dan ketika ia meninggal dunia, baginda bertanya tentang anak lelakinya yang telah mati terlebih dahulu darinya.
Ibu-ibu susuan itu pun datang, mereka semuanya dari Bani Sa’ad dan mereka hanya memilih bayi-bayi yang mempunyai bapa sahaja sedangkan bayi yang tidak berbapa pula ditinggalkan kerana mereka mengutamakan ganjaran yang akan diperolehi dari bapa bayi-bayi berkenaan.