Semua penulis buku sejarah Nabi Muhammad SAW tidak mungkin lupa menulis sedikit sebanyak tentang peranan seorang wanita kampung yang bernama Halimatul dari suku al-Saadiyyah, kerana memang wanita ini tidak mungkin dipisahkan daripada keperibadian Muhammad SAW. Dalam erti kata lain, keperibadian Nabi SAW ialah pantulan daripada keperibadian Halimah al-Saadiyyah, ibu susuan Baginda selama dua tahun - jika tidak semua, setidak-tidaknya sebahagian dari sahsiah Baginda Rasul SAW. Pada hakikatnya, Allah SWT telah menentukan Halimah menjadi ibu susuan Nabi SAW walaupun pada zahirnya hal itu hanya merupakan suatu kebetulan. Ketika Halimah dan kawan-kawannya datang ke kota Makkah mencari kalau-kalau ada ibu bapa yang hendak mencari ibu susuan kepada anak mereka yang baru lahir. Tetapi, setelah mencari ke sana ke mari bertanya dari rumah ke rumah di sekitar kota Makkah ternyata tidak ada orang yang hendak menyerahkan bayi untuk disusukan Halimah. Akhirnya beliau berjumpalah dengan seorang bayi yang bernama Muhammad cucu kepada Abdul Muttalib yang sudah tidak mempunyai ayah ketika dia dilahirkan. Maka, anak yatim inilah yang ditemui Halimah di Makkah untuk diasuh dan disusukannya selama dua tahun.